Connect with us

#AGAMA

Selamat Berpuasa Warga Maya,Ini Dia Amalan Kecil Yang Beri Banyak Pahala Sepanjang Bulan Penuh Nikmat Ini(Puasa),Kongsikan Pada Keluarga Islam Kita

Published

on

Selamat Berpuasa Warga Maya,Ini Dia Amalan Kecil Yang Beri Banyak Pahala Sepanjang Bulan Penuh Nikmat Ini(Puasa),Kongsikan Pada Keluarga Islam Kita

Muslimin yang dirahmati Allah, MARILAH kita bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan sebenar-benar taqwa, melaksanakan segala perintahnya dan menjauhi segala laranganNya. Serta sentiasalah kita berpegang teguh dengan ajaran Al-Qur’an dan mengikuti sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya, selamat dan bahagia di dunia dan di akhirat.

Surah Al-Baqarah ayat 183:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

صدق الله العظيم

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajipkan atas orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa.”

Muslimin yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana diberi peluang lagi pada tahun ini untuk bertemu bulan Ramadan yang mulia, bulan yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan. Di bulan ini lah, kita berpeluang melipat gandakan lagi amal ibadah kepada Allah Subhanahu Wata’ala sama ada ibadah fardhu mahupun ibadah sunat. Oleh itu, alangkah beruntungnya orang-orang yang merebut peluang untuk memperbanyakan amal ibadah kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan meraih ganjaran yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata’ala di bulan ini, dengan mengandakan usaha untuk beramal ibadah dan amatlah rugi bagi mereka yang mensia-siakannya.

Menurut sebuah hadis Qudsi, daripada Abu Hurairah Radiaallahu Anhu berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Setiap amalan kebajikan yang dilakukan oleh anak Adam akan dilipat gandakan dengan sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali ganda. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman yang tafsirnya: kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untukku, aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan keranaku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. {Riwayat Imam Muslim}

Bulan Ramadan adalah waktu yang terbaik untuk mendidik jiwa dan rohani kita kepada kebaikan dan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Pada bulan ini, kita bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga akan tetapi ia juga mendidik untuk mengawal diri dan hawa nafsu. Pada bulan Ramadan, kita juga digalakkan untuk memperbanyakan amalan-amalan sunat kerana melakukan amalan sunat khusunya dalam bulan Ramadan, ganjarannya adalah berlipat ganda berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Antara amalan-amalan sunat yang digalakkan untuk dilakukan sepanjang bulan Ramadan ialah:

Pertama: Bersahur, ulamak sepakat mengatakan bahawa hukum bersahur adalah sunat. Sunat juga mengakhirkan sahur kira-kira bacaan lima puluh ayat Al-Qur’an sebelum azan fardhu Subuh. Ketahuilah, menurut Imam Nawawi Rahmatullah Ta’ala dalam kitab Syarak Sohih Muslim menyatakan bahawa sahur bukan sahaja memberi kekuatan tenaga untuk kita berpuasa di siang hari malah waktu sahur juga ialah waktu turunnya rahmat, waktu doa dimakbulkan dan waktu yang penuh dengan keberkatan. Sabda Rasulullah Sallalahu Alaihi Wassallam:

Daripada Anas bin Malik Radiallahu Anhu bahawasanya Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Makan sahurlah sekalian kamu kerana bahawasanya pada makan sahur itu ada padanya berkat.

Kedua: Bersedekah, perbanyakkanlah amalan bersedekah kerana Rasulullah Sallalahu Alaihi Wassallam adalah orang yang paling banyak bersedekah lebih-lebih lagi di bulan Ramadan, tidak kira kecil ataupun besar, sedikit atau banyak. Ingatlah, di bulan Ramadan ini adalah peluang kita untuk berbuat sebanyak mungkin amal kebajikan dengan bersedekah untuk membantu dan meringankan beban mereka yang memerlukan.

Ketiga: Membaca Al-Qur’an. Kerana bulan Ramadan itu adalah bulan Al-Qur’an. Oleh itu, hidupkanlah bulan Ramadan ini dengan memperbanyak membaca Al-Qur’an di siang hari ataupun di waktu malam sama ada secara perseorangan atau secara berjemaah iaitu dengan bertadarus di masjid atau di rumah-rumah.

Keempat: Menyegerakan berbuka puasa. Rasulullah Sallalahu Alaihi Wassallam bersabda:

Dari Sahli bin Said Radiallahu Anhu, bahawa Rasulullah Sallalahu Alaihi Wassallam bersabda: Manusia selalu berada dalam kebaikan selama mereka segera berbuka.

Kelima: Memberi makan atau menyungkaikan orang yang berpuasa adalah sangat digalakkan dan mempunyai ganjaran yang sangat istimewa. Rasulullah Sallalahu Alaihi Wassallam bersabda:

Daripada Zaidi bin Khalid Jahni Radiallahu Anhu berkata: bersabda Rasulullah Sallalahu Alaihi Wassallam: Siapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun juga.

Keenam: Sembahyang sunat Terawih, sama-sama kita sembahyang sunat Terawih berjemaah lebih-lebih lagi di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat bagi sama-sama mengimarahkan masjid dan menghidupkan malam-malam di bulan Ramadan. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallalahu Alaihi Wassallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahu Anhu, bahawa Rasulullah Sallalahu Alaihi Wassallam bersabda: Sesiapa yang berdiri (beribadah) pada malam bulan Ramadan kerana iman dan mengharapkan ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata’ala, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. {Riwayat Imam Bukhari}

Muslimin yang dirahmati Allah,

Bulan Ramadan ini adalah kesempatan dan peluang yang terbaik bagi kita untuk bermuhasabah, memperbaiki diri dan meningkatkan amal ibadah agar kita lebih menghampirkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Oleh itu, adalah menjadi kerugian jika sekiranya di bulan ini kita hanya sekadar berpuasa di siang hari tanpa melakukan ibadah yang lain.

Manfaatkanlah bulan Ramadan ini dengan sepenuhnya dan jadikanlah ia sebagai pengerak dan membawa kepada perubahan yang besar dalam diri kita dan keluarga sehingga mampu mendidik hati serta jiwa supaya sentiasa patuh mengerjakan segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Akhirnya sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan ibadah yang kita kerjakan di sepanjang bulan Ramadan ini diterima, mendapat ganjaran dan keredhaan daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Isra’ ayat 19:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَمَنۡ أَرَادَ ٱلۡأَخِرَةَ وَسَعَىٰ لَهَا سَعۡيَهَا وَهُوَ مُؤۡمِنٌ۬ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ ڪَانَ سَعۡيُهُم مَّشۡكُورً۬ا

صدق الله العظيم

“Dan sesiapa yang menghendaki (kebahagiaan hidup) akhirat dan berusaha (mengerjakan amal kebajikan) untuk (tujuan) itu dengan usaha yang bersungguh-sungguh sedang dia beriman, maka mereka itulah yang usaha mereka dikurniakan ganjaran yang baik (diberi pahala).”

TELEGRAM INFO BANTUAN, KERJA KOSONG DAN ISU SEMASA

GROUP WHATSAAP INFO BANTUAN, KERJA KOSONG DAN ISU SEMASA

Group Facebook Baharu : https://www.facebook.com/groups/535558540835275

Sertai kumpulan untuk mendapatkan info2 terkini dari KAMI.Terima kasih.

Sumber:Kheu.gov.my

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

Copyright © 2017 Zox News Theme. Theme by MVP Themes, powered by WordPress.

error: Content is protected !!